Wednesday, September 30, 2009

Jalan jalan

Sehari dua ni broadband memang masalah, tak sempat nak baca, asyik putus-putus je,tadi ana baru tengok blog hantumakan dia nak ke kelantan, entah entah dah sampai dah. Hari tu masa balik raya sempatlah meronda-ronda sekejab, dah lama tak pergi ke Kota Bharu, adalah dua tiga tahun dah, kalau balik kampung setakat rumah kakak ana je. Hari tu ada pergi kejab je, sempat singgah pantai pcb, dah lain dah dari dulu. Kat tepi tepi dah penuh dengan batu batu, ini bukan batu semulajadi ada kat sini tapi diangkut letak kat situ untuk mengelak hakisan. Ini kan laut cina selatan, ombaknya lebih besar, pantainya lebih curam, pasirnya lebih kasar. Berbanding dengan pantai pantai di sebelah pantai barat, pantainya lebih landai, ombaknya lebih kecil dan pasirnya lebih halus. (perasan jadi cikgu geografi)






laut cina selatan
Kalau nak makan udang goreng ke sotong goreng ke sambil minum air kelapa muda, di sinilah. sambil sambil tu angin sepoi sepoi datang, sejuk . Kalau nak mandi tak sesuai, tambah tak pandai berenang, tapi tak pa abang penyelamat ada bertugas kat pondok meneropong kekalau ada yang lemas. Sebelum sampai kat sini ada kedai kedai jual baju baju batik, kalau nak beli baju kelawar memang murah murah, tapi kalau cakap kelantan lagi murah..he he..


Kalau nak beli serunding ke dalam 5 kilo untuk makan 3 bulan, pergi ke pasar siti khadijah. Keropok, budu, beras siam semua ada, periuk cap buaya 9 beradik, macam macam lah. Seperti biasa kalau pandai cakap kelantan lagi murah.. Tapi kalau tak pandai jangan cuba nanti bunyi macam orang siam baru sampai. Barang barang dari siam banyak di jual di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur. Dah lama dah ana tak ke sana. Harap harap hantumakan enjoy, tempat makan sila cari sendiri.... ana dah mengantuk nak cita panjang ni...

Monday, September 28, 2009

Raya ketiga itu....

Sebelum puasa lagi mak ana dah tak lalu makan, badannya bertambah kurus, sepanjang bulan puasa juga dia dah tak bertenaga, hanya baring di atas tilam, minum pun sikit sikit. Jiran jiran tiap-tiap hari datang menjenguk. Tiap-tiap hari bertukar orang, hari ni orang ni datang,esok orang lain pula. Ada yang datang bacakan yasin.. ada yang menjengok dan borak borak saja. Di rumah memang sentiasa ada orang melawat. Beberapa bulan sakit mak ana dijaga oleh kakak ana dirumahnya. Dia yang menguruskan segala-gala, suapkan makan, mandi,sikat rambut, pakaikan baju, tukarkan pampers,semuanya. Beberapa kali doktor ada datang kerumah, mak ana perlukan drip. Di kampung kalau panggil doktor sekali datang rm 50.oo kalau kat kl ni tak tau la berapa kena ketuk.


Beberapa hari sebelum raya ana balik ke kampung. Rumah kakak ana. Ana cuti sebelum dan selepas raya. Keadaan mak ana masih tidak berubah. Jiran-jiran sentiasa ada datang, seperti hari hari sebelumnya, ada yang datang baca yasin, ada yang datang sembang sembang. Kita orang tidur sekejab sekejab je. Kebanyakan orang berjaga sampai larut malam. Anak beranak mengaji selepas magrib dan selepas subuh. Persiapan hari raya ala ala kadar sahaja. Ketupat daun palas tetap ada, kakak ana tak sempat nak membalutnya. Jadi banyak ketupat yang tak cantik sebab kebanyakkannya ana yang buat.

Hari raya pertama semua orang pergi masjid, ana tunggu dirumah. Ramai orang datang melawat selepas sembahyang hari raya sampai ke malam. Hari raya kedua, tengah harinya kakak ana pergi meminang untuk anaknya, anak saudara ana akan kahwin tak lama lagi. " Aku pergi sekejab je, kau tunggu rumah. Habis, aku terus balik tak ada lencong lencong" kakak ana cakap. Sepanjang beberapa jam tu tak ada seorang pun tetamu yang datang. Petangnya bila kakak ana dah balik ramai pula yang datang. Seorang pak cik yang datang melawat berkata " Kalau ada anak cucu yang duduk jauh tu, jangan pergi lagi tunggu dulu esok lusa."

Hari raya ketiga, pagi tu kakak ana cakap kaki mak ana dah semakin lurus, cuping telinga dah jatuh. Ana faham itu tanda tanda kematian sudah dekat. " Kau balik rumah mak, ambil permaidani merah". Juga ana faham, Ana faham maksudnya. Dulu, masa emak ana balik dari Mekah, lama dah.., tahun 1983, sebaik sampai je rumah, mak ana memula sekali buka satu bungkusan besar. Kita orang ingat apa. " Ni.. aku beli permaidani kat Mekah, esok kalau aku mati, kau orang kapankan aku atas permaidani ni.". Permaidani tu tak pernah digunakan ada tersimpan dirumah.

Pagi tu kami memasing mengaji dan memohon maaf, mak ana masa tu sekejab sedar sekejab tak. Kemudian ana, kakak yang nombor dua serta abang ipar balik ke rumah mak ana. Perjalanan lebih kurang 80 km, hari raya jalan memang jam. Kami balik ambil permaidani dan sedikit barang barang lain. Bapa ana juga juga ikut sama. Tanpa membuang masa, terus bertolak semula. Baru sepuluh minit bergerak. Ana menerima sms. " Mak telah pulang ke rahmatullah pada pukul 3.50". Tiada seorang pun mengalirkan air mata. Ana masih memandu dengan tenang.

Bila sampai di rumah kakak ana orang dah ramai, orang masjid, jiran jiran dan sedara mara semua. Ana membawa permaidani merah naik ke rumah. Orang yang mandikan mayat sedang siapkan kapas dan memotong kain putih. Rumah telah berbau kemenyan. Suara orang mengaji silih berganti. Mak ana telah diselimuti kain, bahagian mukanya ditutupi kain putih yang jarang. Sambil membuka tutup kain beberapa saat ana terus duduk membacakan yasin. Terasa lain, selalu ana baca. mukanya tak bertutup, kali ini telah bertutup. Ana terus membaca, bau kemenyan menusuk hidung. Sampai di tengah surah suara ana mula bergetar. Tiada air mata yang gugur, cuma hidung mula terasa pedih.

Selesai membaca yasin, ana mengambil air sembahyang untuk sembahyang asar. Semasa membaca Al fatihah. Bismillaahir rahmaanir rahiim. ..Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Alhamdu lillaahi rabbil 'aalamiin. ...Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Arrahmaanir rahiim. ....Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.... Maaliki yaumid diin.... Yang menguasai hari pembalasan..... Tetiba air laju mengalir di pipi ana. Time ni pula gugur dia. Selesai sembahyang, mak cik tukang mandi mayat memanggil ana membantu. Kakak ana yang sulung di bahagian kaki, kakak yang kedua bahagian tengah dan ana di bahagian kepala.

Kami membantu makcik memandikan mak ana. "pegang hose ni ,siram perlahan-lahan, mayat sakit kalau kita kasar kasar, air tu buka kecil je"pesan makcik tu. Ana cuci bahagian kepala,rambut, dahi,hidung,mulut, telinga,semuanya. Kaku, tidak lagi bergerak. Matanya tertutup rapat. Selesai mandi urusan kapan, makcik masjid yang buat semua. Kapan di atas permaidani merah itu. Siap je kapan tinggal bahagian muka je. Mak cik masjid memanggil semua ahli keluarga untuk tatapan terakhir. Ana ada membaca dalam buku ke alam barzah. Time ni adalah kali terakhir kita melihat dunia sebelum ke alam kubur. Melihat anak-anak, saudara mara dan dunia. Seorang demi seorang datang mencium. Kemudian muka mak ana ditutup dan di ikat di kepala, dibawa kemasjid untuk sembahyangkan dan kemudian ke kubur. Di luar hujan renyai renyai, semua membawa payung. Ana turut ke kubur.Selepas isyak selamat dikebumikan dalam hujan renyai-renyai. Perjalanan mak ana berakhir di sini. Pada hari raya ketiga itu, 5 hb November,2005. Kini genap 4 tahun kami mengunjungi kubur ini. Di tepi jalan. Setiap kali melalui jalan ini ana akan menoleh, memandang dan mengingati..... Al Fatihah.........


perjalanan berakhir di sini

Saturday, September 26, 2009

Sudah Sampai KL


Sabtu ke Sabtu, sekali je sempat update, lepas tu raya sakan, baru sampai tadi dari kampung. Bertolak kul 9.45 pagi sampai rumah kul 7.30 petang gitu. Lebih kurang 10 jam juga. Penat tu tak de la sangat cuma kebas kebas punggung je, lama sangat duduk dalam keta. Bukan tak biasa jalan jauh, Kelantan tu kan kampung ana. Dah biasa memandu sesorang. Tak ade la jam sangat cuma bila dah masuk MRR2 tu alahai, bila nak laju ni, dah petang ni.
Memandu dengan bonet yang penuh, maklumlah semua benda nak bawa. Mengalah orang anak sepuluh. Beg baju dua, kononnya kalau hujan tak boleh basuh baju. Tu yang banyak bawa balik baju. Tak hujan pun, cuaca memang panas seminggu ni. Bila balik kl, selalu orang akan tanya, "eh... beli apa ha.. balik kelantan. " "Tak de beli apa apa. sesikit je". Kali ni ana beli beras Siam, dah lama tak beli beras ni. Cap Serindit rm 36 =10 kilo. Dah mahal rupanya, dulu ingat rm21, rm 22 je. Cap Kangaroo dan Arnab dah discontinue. Beras ni nasinya putih bersih dan cantik.
made in thailand
Oleh kerana non stick pan yang ada kat rumah sudah uzur, maka kuali cap buaya yang terkenal ni jadi pilihan. Rumah ana mana ada barang memahal, semua cap carrefour je. Kuali cap buaya ni cukup la, bukan masak apa pun, nak goreng ikan bilis je. Ni harga rm 12 hengget. Manakala nak sayur sawi pula cukup la periuk cap buaya juga saiz no16 dari 9 beradik. Periuk kat rumah dah banyak yang hitam hitam maklum la masak nasi selalu hangit. Rice cooker dah lama rosak, belum beli beli lagi. Periuk ni rm 15 gitulah. Tak ingat dah.

made in thailand


made in thailand
Memandangkan banyak baju yang nak dibasuh esok pepagi. Mohon diri dulu, banyak lagi cite dari kampung nak update. Good night.

Sunday, September 20, 2009

HO HO Balik Kampung

Hari Sabtu.
Perjalanan balik kampung memakan masa 10 jam.... bertolak kul 10.30 pagi sampai 8.30 malam. Hujan pula lebat kat Raub menambah lagi kebas punggung duk lelama dalam kereta. Bagaimanapun ini pemandangan biasa balik kampung time raya. Kalau tak trafic jam bukan balik raya namanya.Pula mencari mesin atm yang tetepi jalan susah nak jumpa selepas keluar dari kl. Singgah Raub susah juga sebab hujan, terpaksa singgah Kuala Lipis, duit dalam poket ada la lebih kurang seratus je, bahaya juga tak de duit ni,tak pernah sampai Kuala Lipis, cantik rupanya pekan Lipis ni, bangunan bangunan pun nampak bercat baru. Kemudian terus cari masjid berhenti sembahyang,lepas tu tak berhenti dah,ingat kan sempat sampai rumah buka posa. Masa orang azan baru melepasi kawasan Gua Musang. Cari kedai tepi jalan berenti..

Kedai ni hidangannya simple. Menu yang dah ready, nak order..lambat. Nasi putih, ayam goreng dan sup tulang.
(sila baca dalam loghat kelate)

S: Kak, suk ni lembu impok ko? (memang tak suka lembu import)
J: Eh, oghre sini, tak laku hok impok. Ni lembu semeleh.
S: Bagi suk dua.

Kami makan sehingga habis.
S: Kak, kiro berapo?
J: Semo pak belah rial. Suk lima rial semakok. Maha tule lembu loni, pak belah sekelo.
Ni kelik dua ni jah, baik baik memale jale. tima kasih deh.

Sampai je rumah, tak nak makan... dah kenyang. Sedap sup tulang tu nanti boleh singgah lagi.
Tak rasa kebas dah bila sampai rumah. Tidur dengan lena.

Hari Ahad
Aktiviti pertama makan dulu, kemudian pergi masjid, entah macam mana hilang pula kasut masa nak balik, kasut lama dah dua tahun lebih, ada kut orang berkenan disonglapnya. Terpaksa balik dengan selipar masjid, pinjam la sebab terus nak ke kubur, tak kan nak kaki ayam. Tiada aktiviti lain dah selepas tu selain dari makan dan cuci pinggan. Makan cuci pinggan makan cuci pinggan.
SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN. KALAU ADA SALAH SILAP SILA MAAF MAAFAN. KEKADANG TULIS IKUT SEDAP JE.

Saturday, September 19, 2009

LELONG! ...! LELONG

Lelong...! Lelong...! satu rm 15, satu rm 10, White Chocolate, Almond LOndon. BISkut Raya BIS kut Raya. LLELONGGGGGGGGGGGGGG
Cepat cepat dah nak habis.... Cepat Cepat...

Orang orang kat jalan TAR dah melelong biskut raya. Tengah hari tadi sempat la singgah setengah jam kat jalan TAR , tak boleh lelama nanti banyak duit melayang. Tahun ni ana hanya membeli telekung raya dan beberapa jenis biskut, ITU JE.. dah jom Balik kampung.....

..letih la nak upload semua...ngantuk dah ni


Tuesday, September 15, 2009

Tak lama lagi


Dikala orang sedang berkemas nak beraya ana masih lagi menaip lapuran ni. Suasana tu masih tak terasa selagi tak balik kampung. Tadi pun lambat balik dari office, tanpa membeli apa apa kuih terus balik rumah. cadangnya malam ni buka puasa dengan sup ayam je, itu je yang paling cepat dimasak. Apabila azan kedengaran ana masih lagi menghiris bawang. Bawang goreng baik dibuat sendiri, bukan lama pun goreng bawang ni,kalau beli yang ready made nampak macam plastik, rasapun macam plastik. masak je terus makan dengan nasi. Tak ada hidangan lain. Gambar pun tak sempat nak ambil, maklumlah terlambat.

gambar curi dari google

Biskut raya baru beli 2 jenis, rembat kat area office je ,esok kena ronda lagi. Ini kan sekali hadap pun boleh habis bila balik kampung. Esok kena berkejar ke Jalan Masjid India sekejab, rembat apa yang patut, balik.. tak kuasa lelama kat tempat orang ramai. Air cond dah dibaiki tadi melayang la beberapa ratus, mana ada baiki air cond sepuluh ringgit. Apa lagi list nak kena buat ni....Basuh baju lagi.....?

Monday, September 14, 2009

Menjelang Aidilfitri

Sudah beberapa hari tidak up date blog, kebelakangan ni sedikit busy, lagipun tiada idea apa nak tulis. Orang sekeliling semuanya sibuk membuat persiapan menyambut raya, ana masih lagi relax. Belum jejak lagi Jalan Masjid India, melawat-lawat, belum beli apapun sehingga hari ini. Sebiji biskut pun tak ada lagi. Cadangnya esok lusa akan pergi tengok apa yang patut. Cuti Raya ana lah orang yang pertama. Seminggu la. Bila lagi nak bercuti. Hari ini juga telah membayar zakat fitrah. Malas nak memikirkan nak masak apa hari ni, terus je beli kerabu dan ayam percik kat kedai mz depan pusat zakat tu . Nasinya balik masak sendiri. Orang Kelantan memang tau kedai ni.

nasi kerabu

Hujung hujung ramadhan ni selera pun kurang, dengan kelajuan paling minima berjaya juga menghabiskan sepinggan nasi ni. Nasi kerabu ni memang tak boleh lawan yang kakak ana masak. Kalau dia masak ana akan makan dengan kelajuan maksima. Biasa la kat kl ni mana nak cari kerabu daun serai, daun kesum, kacang panjang, bunga kantan dll lagi, kat kl ni kerabunya daun kobis dengan taugeh je... mana nak rasa sedap. Sambal kelapanya pula kedekut bawang dengan ikan, tak rasapun serai hiris. Apa-apa pun dah selamat dimakan. Tunggulah balik kampung ni makan yang original.

Kat luar tu dah berdentum dentum bebudak main mercun, surau dan masjid dah semakin surut, yang mana dulu ada khemah dah diturunkan, makmum dah semakin kurang. Kedai service kereta semua penuh. Kereta ana dah berapa lama rosak air cond,cadangnya esok baru nak baiki, kut pula mandi dalam kereta balik kampung nanti kalau cuaca panas. Semuanya nak dibuat esok, tukar duit seringgit esok juga, tadi dah pergi bank duit seringgit habis, tak sempat pula nak ke bank yang lain.

Baju raya? Ana bukan orang yang pakai baju baru di hari raya, orang bukan tau pun tu baju lama. Pakai je yang mana ada, zaman tu dah berakhir lama. Kasi lah bebudak pula. Mengenangkan ada selonggok baju nak dibasuh ni. Mohon diri dulu.

Wednesday, September 9, 2009

Bubur je?

Beberapa hari ni selera makan dah semakin kurang...agaknya masih teringatkan kumbang hari tu. Kalau pergi param lalu kiri lalu kanan balik, tak tau apa nak beli. Apa menu yang sesuai hari ni.... ? Puas memikirkannya... tak muncul juga idea. Lantas ke kedai beli gardenia... hari ni bubur kacang lawan dengan roti je.
sedap ni oiiii

dua keping dah aaaaa

Tak makan nasi la hari ni, ni pun dah cukup...tak ada apa kuih, makan sederhana je,macam menu lepas terawih je... atau pun menu orang tahlil....Orang Kelantan selalu makan roti dengan bubur ataupun dengan kari ayam.. Sedap kan roti cicah kari ayam..

gambar curi
Roti cicah kari ayam gulai dimakan masa cukur jambul... selalunya pagi pagi jumaat... dah lama dah tak makan roti cicah kari ayam ni.....kari daging pun boleh juga. Orang kelantan tak panggil kari dia panggil gulai."Mari mari make gulai aye gulai daging ni.. cucu ambo cukur jambul.."

gambar curi juga

Bila lah agaknya dapat makan gulai daging macam ni nih... daging tempatan bukan daging import, import ana kurang la...oh gulai daging bila pula nak jumpa yang real ni...


Monday, September 7, 2009

Kumbang ada di sini.


Siaran tertunda juga. Kejadian ni berlaku semalam, tak sempat nak buat lapuran. Ceritanya begini, selalunya ana jarang makan kat luar, sejak puasa ni tak pernah lagi makan kat luar, hari-hari biasa pun jarang, ana rela makan ikan bilis goreng kat rumah sama sayur sawi daripada makan masakan indon di kedai. Tapi dek kerana saudara mara nak belanja pergi la makan luar, nun kat Bangi, jalan Kajang ke UKM ada satu restoran besar tepi jalan orang Kajang Bangi memang tau ni. Besar betul restoran ni siap ada rumah pekerja, surau, parking pun senang. Meja tak payah kira memang banyak kita sampai 6.30 memang penuh dah orang booking. Nasib baik ada extra satu.

Orang yang belanja dah siap order, kita tunggu sampai je untuk makan, tapi orang ramai sangat, orang azan minum fresh oren dengan ni je,
macam kering je
kita tunggu la ingat kalau tak sampai 5 limit lagi kita pergi sembahyang dulu. 3 minit lepas tu sampai la, lala goreng, ikan siakap 3 rasa dan last sekali sup sayur... ni je gambar yang sempat snap.. lepas tu kita makan...

siakap 3 rasa
Dah habis makan baru ingat nak senduk-senduk sup sayur kasi habis, tak baik membazir. Alhamdullillah semua dah kenyang.

Tetiba.....
.
.
.

.

.


ADA KUMBANG DI SINI..........




Macam mana ni....wa ka ka ..... semua dah kenyang makan perasa kumbang..... Nak panggil waiter ke .?..kan merosot pula business dia kang, orang dah tengok tengok apa hal mak cik ni asyik snap je...


Nak tau ke kedai mana? wa ka ka .... tak baik kutuk dia orang bukan sengaja letak kumbang. Tengok pintu je la ya....nama restoran dah di padam

....

Sunday, September 6, 2009

Siaran tertunda

Petang Sabtu lepas memang tak de kerja lain selain dari tidur. Entah kenapa mata macam menjahit-jahit. Sudahnya terjaga pukul 5 petang. Satu apa pun tak ade dalam peti ais, pukul 5.30 barulah terhegeh-hegeh nak ke param Sungai Besi, Sungai Besi lagi. Hujung minggu memang suka ke sini, bukan apa saja nak memeriahkan suasana. Heran ya, mana pergi mak cik semua, tahun lepas lepas ramai mak cik mak cik, tahun ni makin ramai indon. Orang muda muda pula yang berniaga. Dah pencen kot mak cik makcik semua. Orang muda gayanya lebih. Jual makanan dik oi , jangan la rambut terjurai-jurai, tak lalu ana nak beli.
Pusing 2 round konon nak cari akok, tak ada pula yang capai piawaian, semua nampak keras dan tak berkedut, pula lebih cerah. Ni mesti kurang telur dan tak guna gula melaka. Macam bancuh simen terlebih pasir. Akok yang berkualiti selalu nampak berkedut, lembut dan warna lebih gelap contoh macam ni
gambar curi

Kalau nampak tak macam ni jangan lah beli gerenti tak sedap. Dah puas pusing last sekali beli lompat tikam. Ada sesapa tak kenal lompat tikam. Tengok betul-betul, kuih ni mesti ada warna hijau daun pandan,putih santan dan pulut merah. kalau tak ada 3 ni memang tak cukup korum.

sedia untuk disuap

Tak kena kalau tak dipadankan dengan segelas teh mas cotek suam suam. Ahhhhhhhh...... nikmatnya Malaysia...........

Alhamdullillah kenyang dah..... makan nasi selepas magrib la .... pecah perut kalau makan terus.

Friday, September 4, 2009

Pulut Kuning

Sedar tak sedar dah dua minggu kita berpuasa, dah dua minggu juga hari -hari buka puasa makan nasi,nasi dan nasi. Kekadang tak tahu nak masak apa dan nak beli apa. Hari ni ubah selera sikit. Tak payah makan nasi, rasa nak makan pulut kuning la hari ni. Ni dia pulut kuning, dah lama tak makan.

tak habis ni, kurang sikit

Tak sah kan kalau tak dipadan dengan rendang ayam kampung. Liat-liat sesikit. Agak-agak seketul dua tu ok la.

ayam pencen

Sebelum makan pulut ni elok la, jamah kuih sikit, ni dia favourite ..kuih pelita. Susah nak dapat kuih yang cantik-cantik. Ni kalau tertekan sikit dah tak lawa.

apa lagi aaaa, ha ni dia favourite juga popia berinti, kak nanti dua tiga hari lagi saya datang beli lagi.Errrrrrr... alhamdulillah, kenyang dah ...esok ni makan apa aaaaaaaaaaa, goreng ikan bilis je la kot...(konon-konon)

Thursday, September 3, 2009

Uban ke?

Dah beberapa hari broadband ni bermasalah. Tak boleh nak bersiaran. Celcom oh celcom... kenapa macam ni? tiap-tiap bulan ana bayar, janganlah naya, rm 68 hinggit sebulan ni. Sakit jiwa mengadap skrin terputus-putus ni. Hari ni baru la ok sikit. Beberapa hari ni juga ana dok membelek rambut, kenapa dah banyak yang putih ni, dulu sehelai dua je. Nampak sangat dah tua, meningkat tua, mengaku je la.
gambar pinjam
Dedulu ada juga inai rambut, kononnya cover uban, bukan apa nanti anak cucu gelak. Lecehnya inai rambut ni, habis kolar baju dan towel semua merah-merah, berhari-hari juga nak hilang tanda kat baju tu. Tapi itu dulu, jahil, sejak terbaca hadis pasal uban beberapa tahun lepas ana tak kisah dah, makin banyak pun tak pa. Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda,
لا تنتفوا الشيب فإنه نور يوم القيامة ومن شاب شيبة في الإسلام كتب له بها حسنة وحط عنه بها خطيئة ورفع له بها درجة
"Janganlah mencabut uban karana uban adalah cahaya pada hari kiamat nanti. Siapa saja yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, maka dengan uban itu akan dicatat baginya satu kebaikan, dengan uban itu akan dihapuskan kesalahan, juga dengannya akan ditinggikan darjat.”

Family ana memang uban muda, he he... apa nak heran. Cantik apa uban tu, nenek ana dulu putih semua rambutnya, datuk ana pun, mak ana, kakak ana, abang ana, semua la. Tak payah la nak colour,memang tak kena. Bagaimanapun kisah colur rambut ni sila rujuk http://www.zaharuddin.net/

Dipetik daripada http://www.zaharuddin.net/

SOALAN:
Mewarnakan Uban dengan warna hitam yang disahkan halal oleh JAKIM. Apa hukumnya?

JAWAPAN:
Ulama telah bersepakat mengharuskan mencelup warna rambut dari warna hitam ke warna lain seperti merah dll, samada dengan inai dan apa jua pewarna yang dibenarkan syarak. (Rujuk Al-Fatawa al-Hindiyyah, jld 5,ms 359 ; Al-Istizkar, Ibn Abd Al-Barr , jld 27, ms 85 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syabini, jld 1, ms 191 ; Kassyaf al-Qina’, Al-Bahuti, jld 1, ms 77)

Mereka semua berdalilkan dengan hadith-hadith riwayat An-Nasaie, At-Tirmidzi, Ahmad, dan Muslim. Hampir kesemuanya mempunyai sanad hasan dan shohih dengan perawi yang thiqah. Demikian menurut Imam Al-Haithami dalam kitabnya Majma’ az-Zawaid dan Imam As-Syawkani dalam Naylul Awtar.
Bagaimanapun ia diikat dengan syarat berikut :-
  1. Pewarna tersebut bukannya jenis yang kekal, jika tidak ia dikira mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan.
  2. Menggunakan pewarna yang suci dan halal.
  3. Tidak mengakibatkan mudarat terhdp kesihatan individu. Seperti Kanser, kekeringan rambut dan merapuhkannya, atau allergi ataupun mudasrat terhdp janin dll akibat bahan kimia pewarna tadi.
  4. Memutihkan rambut iaitu dengan mengikis warna hitamnya dengan tujuan utk menghasilkan warna baru rambut yang lebih cantik, adalah makruh. kerana ia menukar ciptaan asal Allah.