Sunday, October 31, 2010

Tak up date ke?

Jumaat busy
Sabtu rehat
Ahad rehat
Isnin busy

Thursday, October 28, 2010

Tak sempat

Hari ini puasa, konon nak bangun pagi, sahur, tapi setelah beberapa kali menekan butang melewat lewatkan deringan alarm maka daun bangun 5.40 , orang dah azan subuh. Makanan dah siap masak semalam cuma nak panas je. Memang selalu macam ni, melewat lewatkan jam itu macam dah jadi tabiat. Mengapa?
  • Tak cukup tidur agaknya.
  • Tak sahur pun tak kisah, boleh juga puasa.
  • Tidur itu lebih ringan dari bangun pagi walaupun jam memekak.
Bila nak hilang tabiat ni...membazir makanan saja..

balik ni goreng ayam garing garing sedap juga

Wednesday, October 27, 2010

Nasi bungkus

Kalau pagi keluar awal, daun akan singgah kedai beli nasi bungkus, kalau lewat keluar, tengahari terpaksa la bungkus nasi kat sekitar kawasan yang mahal ni. Nak bawa bekal dari rumah malas tak sempat. Sebenarnya kalau bawa dari rumah bukankah lebih bagus, daun memang kagum dengan orang yang membawa bekal setiap hari. Rajin betul mereka bangun pagi dan memasak dulu.




kita beli pun kadang tak sempat

Teringat pula dulu semasa pergi ke rumah seorang kawan, dia cikgu, memang masa bujang dulu buat air sirap pun tak reti tapi bila dah berumahtangga penyakit rajin dia memang tahap melampau. Tiap tiap hari sebelum ke sekolah dia akan memasak untuk bekal anak anak, bila petang dia akan membuka semua beg beg anaknya memantau. Dialognya dalam loghat Kedah.

Mak :    Ini bekal kakak habih sapa yang makan?

Anak :   Kawan

Mak :   Kenapa bagi kawan?

Anak :   Kawan lapaq

Tuesday, October 26, 2010

Hari Gaji

Hari ini ramai orang akan beratur di atm, mengambil duit gaji. Semasa beratur di atm tadi, seorang perempuan cina berada di hadapan daun, sebaik sahaja mengambil duit yang terhulur keluar dia terus cabut, lupa nak mengambil resit yang terkeluar kemudiannya. Tak ada pilihan lain daun terpaksa menarik resit itu dan letak ke tepi, sempat juga menjeling.

Keluaran: RM 1,200.00
  Baki       : RM 56,486.30

Banyak kan? Itu duit orang. Sekarang tiba pula giliran daun mengeluarkan duit untuk membayar hutang.

Keluaran: RM *,***.**
Baki:      : RM *,***.**

Yang pasti jumlah baki kurang dari jumlah keluaran, macam mana ni? memang betul kata orang pergi pagi balik petang, dapat gaji bayar hutang.

Sunday, October 24, 2010

Hari Minggu

Selalunya pagi pagi Ahad daun dah cabut pergi ke Bangi, dah selalu ke Bangi tapi disebabkan tadi hujan, terlepas juga simpang ke Bangi bila melalui Highaway, drive bukan lajupun, tak pasal pasal kena masuk Bangi lama  ronda dulu kawasan kilang kilang tu baru jumpa Bandar Baru Bangi. Bukan pertama kali terbabas macam ni, dah banyak kali. Hari ni boleh kata hujan tapi yang dulu dulu tu sebab angan angan masa memandu. Ini memang tabiat yang tak patut dicontohi. Membazir masa dan minyak saja.

laju ke terbabas tu?

Saturday, October 23, 2010

Duit Kita Duit Orang

Sekarang ni ramai juga orang sedang pokai, maklum la bulan September bulan raya, berlarutan pula hingga dua minggu pertama bulan Oktober masih tak habis habis menziarah sana sini. Memandangkan raya setahun sekali maka ramai yang telah berhabisan pada bulan lepas, jadi sekarang ramai juga yang sedang kira hari menunggu gaji. Masa raya dulu belanja tak ingat, di dapur tu ada orang ada lagi baki baki biskut raya, dulu kononnya tak cukup beli sikit beli banyak banyak, ada yang dah selamat masuk tong sampah. Membazirkan. Nasib baik daun hanya tinggal maruku je, itu boleh simpan Deepavali.

Sekarang baru nak berangan angan, tahun depan mesti tak ada masalah ni lagi, kononnya nak simpan duit tetiap bulan nanti raya tahun depan tak ada masalah ni lagi. Masalahnya tahun lepas lepas pun angan angan gitu juga, tapi setiap kali datang raya duit selalu tak cukup. Sebaik lepas raya tak menabung pun untuk raya tahun depan. Agaknya kena pakai tabung buluh ni, susah sikit nak buka. Ada orang tak payah menabung, duit dia memang cukup sentiasa. Itu duit orang, duit kita hanya yang dalam dompet kita je.

mana nak cari ni?

Kalau kat kampung tu boleh juga pakai tabung tempayan ni, agaknya ada lagi ke tempayan kat kampung tu. Raya tahun depan la pula balik cari kalau kalau ada.


cukup sampai raya tahun depan

Thursday, October 21, 2010

Sejam

Rata ratanya masa rehat hanya sejam tapi di office daun masa rehat boleh jadi sejam setengah, jam 12.30 dah boleh rehat, selalunya daun lebih suka beli dan makan di office saja, jarang makan di luar. Selalu juga bawa bekal, itu kalau angin rajin datang melanda, sebab dekat dekat kawasan office ni ramai yang jualnya orang indon, daun kurang selera. Masakannya lain dari kita walaupun seakan akan sama.

Kalau dekat dekat rumah tu pagi pagi ramai orang melayu kita yang berniaga, sambar je apa apa yang patut seringgit, kalau beli banyak kang tak habis pula. Kalau beli lebih sampai tengahari pun ada lagi. Perut kecil. Selalunya lepas makan jam 1 ada ceramah kat surau sampai dekat pukul 2 berhenti sembahyang. Hari ini daun tak pergi sebab nak jalan jalan melawat blog orang, ok tak alasan ni? Sejam tu.

masa makan

Wednesday, October 20, 2010

Semput

Pagi tadi kerana terlewat sedikit akibat jalan sesak, maka daun terpaksa mnggunakan lift untuk sampai ke tingkat 3 dengan lebih cepat. Nak tunggu lift rasanya guna tangga lagi cepat, malangnya sampai di tingkat 3 sudah nafas turun naik. Itu tidak lain tidak bukan menandakan stamina entah kemana. Tanda tanda tua juga mungkin. Mengapa semput?

tak larat

Tak ada jawapan lain melainkan kurang exercise. Memang sah, kalau dah bangun pagi pergi kerja petang balik, gitu gini, begitu begini jam 12 masuk tidur. Berdengkur yang tak bunyi. Esok bangun sama juga. Bila masa exercise?

Tuesday, October 19, 2010

Hilang

Hari ini rasanya ada la 10 kali sign in blog tapi tak tau apa nak tulis, cuma baca sikit sikit apa orang lain tulis, idea hilang. Kononnya boleh dapat idea kalau membaca tapi makin hilang. Memang rasa dah lama tak post, tu la  kan orang nak berblog kita pun ikut nak berblog, orang post hari hari, kita seminggu sekali pun gagahkan diri.

Thursday, October 14, 2010

Belanjawan 2011. Apa harapan?

Esok belanjawan akan dibentangkan, dah ramai orang bercakap pasal topik ni, semalam dalam soal jawab di tv3 mereka membincangkan tentang perkara ini, antara yang menjadi panel adalah boss proton Dato' Syed Zainal Abidin, Datin Seri Tiara dan seorang lagi dari NGO yang daun tak ingat namanya, maklum daun kurang ambil tahu sesetengah perkara, bukan tengok sangat forum sebegini, lagi pun soaljawab ni mula jam sebelas malam. Masa tu la daun nak membasuh baju. Siang siang mana ada masa. Dengar pun hujung hujung telinga je.

Apa yang mereka mereka bualkan ialah harapan mereka berkenaan belanjawan yang ada kaitan dengan bidang masing masing. Itu tak begitu penting bagi daun, kerana ketiga tiga bidang mereka tidak memberi kesan yang kuat kepada kehidupan daun. Bunyi macam jahat je. Apa yang daun harapkan dari belanjawan esok ialah:
  • Tol Mines tu dihapuskan, tak payah lah daun bayar rm 1.30 pergi dan rm 1.30 balik semata mata nak beli sekilo daging di pasar Sungai Besi.
  • Kredit kad dihadkan satu saje untuk seorang individu, tak payah la daun nak berangan angan untuk apply yang baru. Buat masa sekarang hanya ada satu kad itu pun dah gunting.
  • Income tax tu, letih la nak isi borang dia, tak payah la dikenakan kepada kita yang berpendapatan rendah ni. Kasi lah orang yang income rm 5,000 ke atas ke, kita yang kecil kecil ni membazir kertas je pun kalau isi.
  • Bonus, letih kita dengar kalau orang kerajaan dapat bonus, esoknya barang barang naik, tak tau apa kaitannya, bila orang swasta dapat bonus tebal tak ada pula kisah.
Bab bab ini pening kita nak memikirkan, biar lah wakil rakyat yang bergaji tu pening kepala.

Wednesday, October 13, 2010

Terbabas juga

Ada orang, mereka boleh berjaga malam, tidur lewat tak ada masalah, pukul berapa pun tak kisah, esok senang je dia orang bangun pagi. Ada orang tidur sangat penting, jam sembilan dah bertemu bantal, rugi katanya bersengkang mata, baik tidur, esok kan nak kerja. Ada orang boleh bangun awal pagi, jam 4 dah start operasi, baca buku, mengaji, buat apa apa kerja rumah langsung sampai ke pagi. Bagaimanapun daun tidak termasuk dalam tiga golongan ini.

Memang dah tau tak boleh nak berjaga malam tetapi semalam degil juga. Kalau terlebih jaga malamnya maka, kepala mula pening nak meletup dan pagi tadi terbabas sedikit dari biasa. Bolehkah kita salahkan hp kerana tak berfungsi deringannya atau tangan ini yang tak sedar matikannya. Memang sah, kalau terbabas, subuh pun lepas. Jam 7.08 pagi, memang tak boleh ampun lagi. Alarm pun dah lama rosak. Haruskah daun beli yang paling besar supaya kejadian ini tidak lagi berulang.
yang ni gerenti terjaga awal

Tuesday, October 12, 2010

Apa ada pada 10.10.10 ?

Sepatutnya daun menulis tajuk ni dua hari lepas tetapi memandangkan keadaan tidak mengizinkan maka terpaksa tangguh hingga hari ini. Pada tarikh itu ramai orang sibuk atau suka menyibukkan diri. Ke sana sini mengejar open house, kenduri sana kenduri sini, makan sana makan sini. Ramai orang mahu mengingati tarikh ini sebagai kenang kenangan. Tambahan pula mood raya masih ada.

Hari itu daun ada kelas mengaji, maklum ala ala nak insaf ni rajin pergi. Ustazah yang mengajar tu memberitahu, dia sedih sikit sejak raya ni, maksudnya sebulan ini bermula dari hari raya yang jatuh pada 10.09.10 hingga 10.10.10 dia sakit lutut, maklum dah berumur, jadi tumpuannya untuk mengaji sedikit terjejas, dia baru habis 12 juzuk. Maknanya dia telah lebih 200 muka surat baca Al Quran, sudah lepas surah Yusuf, sedangkan daun masih merangkak, Al Baqarah pun belum habis sejak raya. Memang langit dan bumi bezanya.

Jadi di mana kita? Open house dah habis. Kenduri pun dah kurang.

Sunday, October 10, 2010

Terlebih makan terlebih tidur

09.10.10 makan sana makan sini
kejar sana kejar sini..
10.10.10 tidur tidur tidur
open house dah tak ada

Saturday, October 2, 2010

Kita Serupa

Pagi tadi jam 8.50 pagi daun sudah terpacak di depan masjid yang jauhnya setengah jam perjalanan, hari ni terbuka hati nak datang belajar  mengaji di sini, pertama kali datang. Tawaf dulu masjid ni tengok ada beberapa orang di dalam, ada yang tengah tekun mengadap laptop di tepi tepi dinding, blogger agaknya mereka ni ? tak pun mesti student yang lebih suka belajar di masjid. Jimat letrik. Tak baik menuduh orang. Orang orang yang datang sini mesti tujuan baik.

Beberapa minit tunggu datang la ustaz yang mengajar, memang janjinya di sini jam 9.00 pagi. Katanya ada 3 orang lagi pelajar. Tak lama kemudian datangla seorang lelaki dalam lingkungan umur 50 tahun, dari gaya dan songkoknya memang boleh kita panggil dia ustaz. Mesti bagus bacaannya ni, agaknya daun paling tersorok nanti banding dengan dia. Selang seketika datang pula sepasang suami isteri, mungkin awal 40an, isterinya berjubah hitam dan tudung pun hitam.  Nampak macam bagus juga, mungkin ini ustazah, mesti bagus bacaan dia ni, daun juga terkebelakang nanti.

Kelas ni baru bermula, kita baru di mukasurat ke enam, daun masih belum terlambat, pelajar pun baru ada 4 orang, mula memang ustaz yang baca, tepat bacaan ustaz, nampak macam senang, tumpu pada satu mukasurat sahaja, ada yang daun dah tahu, ada juga yang belum tahu. Kemudian tiba pula giliran kita baca, pelajar pertama, kedua dan seterusnya bila tiba giliran daun. Semuanya ada saja yang tak betul. Semua pelajar pun ada saja yang ditegur. Kita semua tak betul lagi. Tiba tiba daun terpandang pula di sebalik jubah tu pelajar tadi memakai jeans. Tak salah kan. Bila masuk masjid elok juga jeans ditutup dengan jubah.

Di akhir kelas ustaz memberitahu, kesemua kita adalah tergolong dalam kategori yang sama dari segi bacaannya. Kita semua orang orang yang tak pandai tapi mahu belajar. Itu lebih baik dari tak mahu belajar. Lega daun dengar, tak de la daun terkebelakang berbanding dengan pelajar yang dah lama, kalau tak segan juga.  Melihat gaya mereka nampak macam lebih senior dari segi bacaan.  Kita sama, siapapun kita, serupa saja.  Kita berjubah, berseluar, berumur 50 atau 19 tahun atau pun ajk masjid sekalipun tak ada beza jika bacaan tak betul masih juga kena belajar.

Friday, October 1, 2010

Hebatnya mereka

Ada orang kata malas lah nak masuk blog daun, bukan selalu up date, tiga atau empat hari sekali baru nampak entri. Ya betul kata mereka, kadang kadang kita ada idea yang nak tulis tapi masa tu tak ada masa pula, tapi bila ada masa tak ada idea langsung nak tulis apa.  Masa tu mula la merayap blog orang sana sini, hebat mereka kan, kalau dua kali sehari up date mau berpuluh puluh entri sebulan, daun pula dua puluh entri pun tak cecah sebulan.